Grab Dan Uber Wajib PSV – Anda Sokong?

Saya terpanggil untuk menyentuh isu perkhidmatan pengangkutan awam alternatif iaitu perkhidmatan perkongsian kenderaan melalui perkhidmatan Grab dan Uber.

Kebelakangan ini berlegar khabar angin yang mengatakan bahawa pemandu Grab dan Uber akan dikuatkuasakan untuk lulus dan layak untuk ada sijil PSV dan juga melalui pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom.

Beberapa insiden terpencil juga dibesar-besarkan oleh media arus perdana bagi menambahkan lagi perpektif buruk terhadap perkhidmatan Grab dan Uber.

Antara insiden yang dirujuk ialah kes di mana pengguna perkhidmatan Uber yang telah menjadi mangsa jenayah akibat ditinggalkan di lokasi yang tidak selamat berpunca daripada kesilapannya memberi lokasi destinasi yang salah.

Berikutan insiden tersebut prejudis terhadap perkhidmatan Grab dan Uber ditambah burukan dengan alasan kononya identiti pemandu perkhidmatan Grab dan Uber adalah tidak jelas jika dibandingkan dengan perkhidmatan pengangkutan awam lain iaitu Teksi.

Teksi memaparkan identiti pemandunya secara konvensional iaitu menayangkan kad identiti pemandu di papan pemuka setiap Teksi manakala Grab dan Uber sebaliknya iaitu tiada paparan identiti pemandu secara konvensional.

Persoalan yang timbul ialah adakah Teksi tidak akan menurunkan penumpangnya sekiranya diberi lokasi destinasi yang salah?

Bukankah identiti dan rekod perjalanan perkhidmatan Grab dan Uber ada dan tersimpan dalam sistem elektronik iaitu email?

Sebenarnya insiden terpencil tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menambahkan pendapatan agensi kerajaan dengan memaksa pemandu Grab dan Uber untuk membayar kos PSV dan pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom.

Bukankah pernah berlaku pemandu Teksi merogol dan melakukan jenayah lainya terhadap penumpang Teksi?

Juga banyak kes pencatutan oleh pemandu Teksi sehingga banyak operasi dan undang-undang berkaitan Teksi digubal dan dikuatkuasakan?

Oleh yang demikian penguatkuasaan PSV dan pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom bukanlah alasan kukuh bahawa keselamatan rakyat apabila menggunakan perkhidmatan Grab dan Uber lebih terjamin seumpama perkhidmatan Teksi.

Kerajaan pernah malaksanakan kempen berkongsi kenderaan untuk mengatasi masalah yang berkaitan dengan isu pengangkutan dan perkhidmatan pengangkutan awam.

Mengapa apabila perkhidmatan yang berbentuk perkongsian kenderaan iaitu Grab dan Uber telah wujud ia pula didiskriminasikan dengan pelbagai tekanan yang tidak wajar?

Apakah perbezaan antara Teksi dengan Grab dan Uber?

Kita perlu mendedahkan perbezaanya untuk hadzam rasional di sebalik alasan untuk mewajibkan PSV dan pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom terhadap Grab dan Uber seumpama Teksi.

Teksi adalah perkhidmatan yang berbentuk “self operator” manakala Grab dan Uber pula adalah perkhidmatan yang berbentuk “remote operator”.

Teksi perlukan PSV kerana mereka menguruskan keseluruhan urusan mengangkut dan menurunkan penumpang dengan sendiri.

Tanpa PSV mereka tidak tahu prosedur yang disesuaikan dengan faktor keperluan sosial dalam menguruskan urusan pengangkutan awam.

Berbeza dengan Grab dan Uber yang mengendalikan urusan mengangkut dan menurunkan pemumpang berpandukan arahan oleh aplikasi dan sistem yang telah dibekalkan oleh operator Grab dan Uber.

Pemandu Grab dan Uber hanyalah “feeder” dan mereka bukanlah pengurus perkhidmatan seumpama Teksi.

Justeru adalah tidak logik untuk mereka diwajibkan ada PSV apatah lagi pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom secara berkala kerana kenderaan mereka bukanlah kenderaan komersial seumpama Teksi.

Sebenarnya kewujudan Grab dan Uber telah banyak membantu golongan yang kesempitan dengan menyediakan peluang pekerjaan alternatif selain daripada memudahkan para pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia.

Leave a comment